Hidupku... keranaMu Tuhan Headline Animator

Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

Thursday, May 22, 2008

UMAR R.A KILLED HIS DAUGHTER? IS IT TRUE?

Here is another wrong story which i believed until i discover the real fact. And i think most of us still believe that Sayyidina Umar in his Jahiliyyah time has killed his daughter. And it become easily accepted because of the nature of this story, or the conclusion made is to show how great Islam is being able to change brutal and cruel person into a better man. well we should think it once again. I urge all my friends and visitor of my blog to read the actual facts below:

BENARKAH SAYYIDINA UMAR R.A MEMBUNUH ANAKNYA?

Saringan oleh http://www.darulkautsar.com/ dari artikel asal oleh Maulana Muhammad Asri Yusoff

Terdapat beberapa buah buku yang tersebar meluas dalam masyarakat yang menceritakan kisah Sayyidina Umar r.a. kononnya telah membunuh seorang anak perempuan dan menanamnya hidup-hidup, seperti sebuah buku berjudul “Sepuluh Sahabat Dijamin Ahli Syurga” oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan Pustaka Nasional Pte. Ltd (1984), m.s. 50-51. Dua artikel berkenaan cerita ini telah disiarkan dalam akhbar Harakah. Satunya disiarkan sebagai bahan bacaan untuk kanak-kanak di ruangan BESTARI (Harakah, 18 Disember 1998) dan satu lagi artikel hasil penyelidikan satu kumpulan yang memakai nama ILHAM ( Harakah, 30 Nov 1998) . Kedua-duanya mengandungi cerita yang sama dengan sedikit perbezaan ibaratnya.

Jika cerita seperti itu disiarkan oleh musuh Islam, tentu sekali tiada maksud lain bagi mereka melainkan untuk memburuk-burukkan imej Sayyidina Umar r.a. yang merupakan sahabat karib Rasulullah s.a.w. dan khalifah agung umat Islam.

Jika cerita seperti ini disebarkan oleh mereka dari kalangan Ahli Sunnah wal-Jamaah, pada pandangan penulis, ada dua kemungkinan yang mendorong mereka untuk menyebarkannya.

Pertama, kerana jahil dan kedua, adalah kerana menganggap kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar r.a. berada di zaman jahiliah.

Apa yang peliknya andaikata semasa zaman jahiliah itu, Sayyidina Umar r.a. telah melakukan demikian! Selain dari itu bukankah ini menunjukkan kehebatan Islam dengan kemampuannya yang luar biasa dalam mengubah dan membentuk peribadi manusia sehingga manusia yang sekejam Sayyidina Umar r.a. itu pun telah menjadi sebaik-baik manusia malah pemimpin Islam contoh untuk umat Islam kemudian apabila memeluk Islam?Bagi penulis, tidak timbul soal kehebatan Islam dalam mengubah kehidupan manusia kerana telah pun terbukti melalui banyak riwayat-riwayat yang sahih tetapi bagaimana dengan cerita kekejaman Sayyidina Umar r.a. ini? Apakah kedudukannya? Adakah ia memang berasas atau hanya dongeng dan cerita rekaan semata-mata?


Alangkah berguna kepada para pembaca sekiranya penulis-penulis buku dan artikel-artikel ini mengemukakan tempat rujukan kisah ini supaya amanah ilmiah yang mereka bawakan kepada orang ramai itu disampaikan dengan penuh tanggungjawab.

Kisah ini tidak akan dapat ditemui dan dikesan walaupun bayangnya di dalam kitab-kitab hadis atau kitab-kitab sejarah yang muktabar! Tentu sekali ianya direka oleh musuh Islam tetapi sungguh malang sekali apabila kita sebagai umat Islam menerima apa saja yang disogokkan dalam cerita atau kisah-kisah sahabat padahal Rasulullah s.a.w. telah pun bersabda yang bermaksud, “Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa sahaja yang didengarnya.” ( Hadis Riwayat Muslim)

Tujuan penulis mengkaji semula dan membetulkan artikel-artikel ini tidak lain adalah untuk memelihara kesucian sejarah hidup Rasulullah s.a.w. Juga untuk memberi peringatan kepada umat Islam umumnya, pendakwah-pendakwah, penulis-penulis dan guru-guru agama khususnya supaya berhati-hati apabila membawa sesuatu kisah berhubung dengan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. kerana mereka adalah cermin agama Islam.

Supaya lebih jelas kepada para pembaca, penulis putarkan kembali bahagian terpenting daripada kisah Sayyidina Umar r.a. menanam hidup-hidup anak perempuannya (sebagaimana yang disebarkan dalam akhbar sebagaimana di atas).

Begini ceritanya…..

“...Umar memejamkan mata. Anak itu ditendangnya masuk ke dalam lubang yang digalinya. Ia menangis. Umar tidak menghiraukannya….Umar menutupkan mata dan terfikir, “ Oh! Anakku yang manis dan pintar. Mengapa kau dilahirkan sebagai perempuan?” Ia menangis. Tangannya gementar, tubuhnya menggigil. “ Umar, jangan jadi pengecut,” Tiba-tiba suara itu terdengar berulang kali ditelinganya. Lalu sambil menahan kesedihannya, Umar meneruskan lagi menimbun pasir ke lubang tadi, sehinggalah anaknya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kisah ini selain tidak terdapat di dalam kitab-kitab sahih dan muktabar, ia juga bercanggah dengan kaedah dirayah yang dipakai oleh ulamak Islam dalam menilai sesuatu cerita.

Di antara alasan yang boleh dikemukakan ialah:

1) Tidak ada satu pun riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan membuktikan seorang pun daripada kabilah Quraisy menanam anaknya hidup-hidup, apatah lagi untuk membuktikan Sayyidina Umar r.a membunuh anak perempuannya.

2) Adat menanam anak perempuan hidup-hidup berlaku di kalangan setengah-setengah kabilah Bani Tamim dan Asad yang bimbangkan kepapaan menimpa mereka kerana anak-anak itu. (Muhammad Tayyib dan Najjar di dalam kitab Al-Qabasu AL-Waddah’, muka surat 78 Zakaria Basyir dalam Meccan Crucible, muka surat 24). Sebagaimana adanya riwayat menyebutkan Qais bin Hasyim seorang pemimpin kabilah Bani Tamim yang kemudiannya memeluk Islam, telah mengaku menanam hidup-hidup 8 orang anak perempuannya di zaman Jahiliah.


Disana terdapat juga riwayat menyebutkan seorang pemimpin dari kalangan Bani Tamim juga telah menyelamatkan ramai anak perempuan daripada dibunuh oleh ibu bapa mereka kerana takutkan kepapaan dengan membeli anak-anak perempuan. Di antara pemimpin yang menonjol dalam usaha membasmi adat keji ini ialah Sa’sa’ah bin Naajiah, datuk kepada Al-Farazdaq seorang penyair Arab yang terkenal dan Zaid bin Amar bin Nufail.

Sa’sa’ah telah membeli anak perempuan daripada kedua ibu bapanya kemudian memelihara mereka hingga dewasa. Bilangan anak-anak perempuan yang dipeliharanya ialah 360 orang ( At Thabarani dalam Al Mu’jamu’ Al Kabir, jilid 8 m.s. 77). Sementara Zaid bin Amar bin Nufail pula tidak terpengaruh dengan masyarakat sekeliling yang menyengutukan Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain malah beliau mencari-cari kebenaran dan sedapat mungkin cuba mengesan serta mengamalkan saki baki peninggalan agama Nabi Ibrahim. Beliau juga membeli anak-anak perempuan daripada ibubapanya lalu memelihara mereka hingga dewasa. Kemudian dia akan membawa anak-anak perempuan itu kepada kedua ibubapanya lalu berkata kepada mereka , “ Jika kamu suka kepada anak perempuan kamu ini, kamu boleh mengambilnya atau kalau kamu tidak mahu kepada anak perempuan kamu ini biarlah anak-anak perempuan ini bersama saya.” ( Bukhari, jilid 1 , m.s. 540)

Zaid bin Amar bin Nufail bukan sahaja keluarga Sayyidina Umar r.a malah beliau adalah sepupu Sayyidina Umar r.a. Adik perempuan Sayyidina Umar r.a menjadi isteri kepada anaknya Sa’id dan anak perempuan Zaid pula menjadi isteri Sayyidina Umar r.a. sendiri.

Takkanlah keluarga yang terkenal dalam usaha-usaha suci menyelamatkan anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh ibubapa mereka, tiba-tiba seorang yang sangat menonjol dan yang terpenting daripada mereka sendiri melakukan perbuatan terkutuk ini dengan membunuh anaknya sendiri.

3) Setelah Mekah dibuka, Rasulullah SAW. Berbai’ah dengan perempuan-perempuan mukmin. Diantara ucapan baginda SAW ialah:

“ Kamu tidak lagi akan membunuh anak-anak kamu.”

Hindun tiba-tiba berkata, “Kami memelihara mereka semasa kecil, apabila besar kamu pula yang membunuhnya.”

Peristiwa itu tercatat di dalam kitab-kitab hadis dan kitab-kitab sirah dengan jelas dan terperinci. Kata-kata Hindun ini menunjukkan kabilah Quraisy tidak terlibat dengan adat yang keji ini. Sabda Rasullullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga membuktikan bahawa kabilah Quraisy tidak terlibat dalam pembunuhan anak-anak perempuan iaitu, Sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud,
“ Sebaik-baik perempuan Arab ialah perempuan Quraisy. Mereka sangat penyayang terhadap anak-anak yatim sewaktu kecilnya dan mereka paling menjaga kedudukan dan harta benda suaminya”.

Apa ertinya pujian Nabi s.a.w terhadap sifat penyayang mereka terhadap anak-anaknya sekiranya mereka juga seperti kabilah-kabilah lain yang terlibat dengan adat membunuh anak-anaknya?

Anak-anak Sayyidina Umar r.a yang lahir sebelum Islam semuanya hidup. Mereka ialah Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman.

4) Dalam tradisi Arab, seorang yang dikurniakan dengan anak
sulungnya seperti Kuniah Nabi kita s.a.w ialah Abu Qasim, Kuniah Sayyidina Umar r.a ialah Abu Hafsin merujuk kepada Hafsah, anak perempuannya. Ini menunjukkan anak perempuan Sayyidina Umar r.a. yang sulung ialah Sayyidatina Hafsah.

5) Perlu juga diperhatikan bahawa disepanjang hayatnya, berapa ramaikah isteri Sayyidina Umar r.a dan juga hamba sahayanya di samping anak daripada mereka itu?

Kerana sejarah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar r.a Imam Ibn Jauzi dan lain-lain menyenaraikan isteri-isteri Sayyidina Umar r.a. dan anak-anaknya di samping hamba sahayanya. Beliau menulis, “Sayyidina Umar r.a mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah:

I) Zainab bt Maz’un

Zainab adalah saudara perempuan Uthman b. Maz’un yang terbilang di antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan dan saudara sesusu dengan Nabi s.a.w. Dengan Zainab ini Sayyidina Umar r.a telah mendapat tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.

ii) Atikah bt Zaid b. Amar b. Nufail
Daripadanya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Iyadh
iii) Isteri yang ketiga ialah Jamilah bt Tsabit b. Aflah
Daripadanya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim
iv) Ummul Hakkam bt Al-Harith b. Hisham
Daripadanya beliau mendapat anak perempuan bernama Fatimah.
v) Ummul Kulthum bt Jarwal b. Malik
Daripadanya beliau mendapat dua orang anak perempuan bernama Ubaidullah dan Zaid Al Akbar
vi) Ummul Kulthum bt Ali b. Abi Talib
Daripadanya beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid Al Asghrar dan Ruqayyah.
vii) Daripada hamba sahayanya yang bernama Fukayyah dan
Luhayyah juga Sayyidina r.a telah mendapat anak. Daripada Fukayyah dia mendapat anak perempuan bernama Zainab dan daripada Luhayyah beliau mendapat anak bernama Abdul Rahman Al Autsar dan Abdul Rahman Al Asghrar.
Jadi, anak-anak Sayyidina Umar r.a adalah seperti berikut:

LELAKI
1) Abdullah
2) Abdul Rahman Al Akbar
3) Abdul Rahman Al Autsar
4) Abdul Rahman Al Asghrar
5) Zaid Al Akbar
6) Zaid Al Asghrar
7) Ubaidullah
8) ‘Aasim
9) ‘iyadh

PEREMPUAN:

1) Hafsah
2) Ruqayyah
3) Fatimah
4) Zainab
Daripada isteri pertamanya Zainab bt Maz’un, Sayyidina Umar r.a mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah b. Umar dan Abdul Rahman Al Akbar.Hafsah adalah anak sulungnya daripada Zainab bt Maz’un, sebab itulah beliau dikurniakan dengan Abu Hafsin.

Pada ketika beliau memeluk islam, beliau mempunyai hanya tiga orang anak ini sahaja. Kalau begitu anak yang manakah ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar r.a? Apakah namanya dan apakah nama ibunya? Kalaulah Sayyidina Umar r.a betul-betul bencikan atau tidak suka kepada anak perempuan, kenapa pula dia memakai kuniah Abu Hafsin?

Selain daripada alasan yang disebutkan tadi, adakah logic Sayyidina Umar r.a baru mengetahui identity anaknya samada lelaki atau perempuan setelah anak itu berumur 4 tahun?

Mungkin juga orang yang mula-mula menyebarkan kisah ini terkeliru dengan riwayat Wadhin yang dikemukakan oleh imam Daarini di dalam sunnahnya,atau mungkin ia pura-pura terkeliru.

Riwayat itu menyebutkan bahawa ada seorang lelaki mengadap Rasulullah Saw lalu berkata, “wahai Rasulullah! Kami dahulu orang-orang Jahiliah,kami menyembah berhala dan membunuh anak-anak. Saya pernah mempunyai seorang anak perempuan.Bila saya memanggilnya dia berlari-lari datang kepada saya dan sangat ceria. Pada suatu hari saya memanggilnya dan ia terus mengekori saya. Berdekatan dengan tempat itu ada satu telaga, saya memegang tangannya dan menolaknya masuk ke dalam telaga. Ucapan terakhir yang terkeluar dari mulutnua ialah “ ayah!”

Mendengar ceritanya itu Nabi saw menangis. Orang-orang yang ada berdekatan dengan Nabi saw berkata kepada orang itu, “ kamu betul-betul telah menyedihkan Rasulullah saw.” Nabi bersabda, “orang ini datang bertanyakan sesuatu yang lebih dari itu,” seraya baginda Rasulullah saw berkata kepada orang itu, “ceritakan sekali lagi kisah itu” orang itu pun mengulangi sekali lagi kisah itu sehingga Rasulullah saw menangis sehinnga basah janggutnya.

Kemudian Nabi saw bersabda, “perkara-perkara yang telah dilakukan oleh mereka di zaman jahiliah telah dihapuskan oleh Allah swt dengan masuknya mereka ke dalam Islam. Sekarang mulakan amalan-amalan yang lain” ( sunnah Daarini,jilid 1. ms 3)

Ini adalah satu kisah seorang yang tidak diketahui siapa orangnya,apa namanya? Mungkin orang-orang yang mempunyai maksud jahat mengaitkan cerita ini dengan Sayyidina Umar r.a. padahal cerita inipun jika ditimbang dengan neraca ilmu riwayat juga tidak disabitkan kerana Wadhin merupakan perawi teratas, lahir pada tahun 80H dan wafat pada 149 H,sedangkan dia tidak pula menceritakan perawi lain lain diatasnya. Tidak mungkin dia telah mendengar sendiri kisah ini 80 tahun sebelum kelahirannya!

Dalam istilah ilmu hadis, riwayat seperti ini dinamakan riwayat munqati’, kerana perawi diatasnya tidak disebutkan. Selain itu Wadhin itu sendiri adalah seorang yang dipertikaikan oleh ulamak Rijal Hadits tentangnya. Imam Bukhari,Muslim dan Nasa’I tidak mahu menerima riwayatnya. Ibnu Saad berkata, “ dia seorang yang daif.” Abu Hatim berkata, “ sesetengah riwayatnya baik tetapi setengah yang lain sangat buruk.” Jauzajani berkata, “riwayat-riwayatnya adalah lemah” ( Mizan Al I’tidal, jilid 4. ms 336). Hafidz Ibnu Hajar menulis bahawa, “ingatannya sangat teruk”.
Bila riwayat itu sendiri tidak tahan diuji, di samping orang yang berkenaan tidak disebutkan dengan jelas namanya kenapa pula ada orang yang pandai-pandai mengaitkannya dengan Sayyididina Umar r.a.? Tentu sekali perbuatan seperti ini tidak pernah dilakukan kecuali oleh musuh-musuh Islam..
Read the rest of the entry / Baca selanjutnya!

Tuesday, May 20, 2008

Penjelasan Ustaz Jailani mengenai kes Fatimah Tan vs MAIPP

I want to share this short explaination by Ustaz Jailani on a controversial case Fatimah Tan vs MAIPP recently. although it is bit late but i post this topic anyway. Last week ustaz Jailani came to my office office for tazkirah session on Friday morning. Actually i was on leave. the tazkirah was recorded by my friend. you can download it here

penjelasan ustaz jailani

Reader can also see post made by masri in his blog

my understanding of the case is that this Fatimah tan is not really came into Islam for Islam but for her own pleasure. There is also a case in the era of prophethood where a person who was never say the 2 syahadahs but has been proclaimed by Rasullullah as muslim and Rasullullah has ordered sahabahs to perform salat janazah ghaib when he died. the person is Najasyi Ashama bin Bahr, the King of Habasyah at the time of first hijrah (you can download this article by Hafiz firdaus here).

And here is the rest of it. Read the rest of the entry / Baca selanjutnya!

Monday, May 5, 2008

KEPALSUAN KISAH HINDUN MEMAMAH HATI HAMZAH

this is the story which i feel sad the most. not because of Hamzah was killed in the battlefield. it is because for all this while from my childhood to this state of maturity and having my own child my belief or should i say our belief is that Hindun, the mother of Mu'awiyah is the one who has chewed Hamzah's liver after his death but she couldn't swallow it. In the version of this story that was told to us, Hindun is regarded as an evil. Allah i seek your pardon. After the first time read this story of actual fact, i feel so uneasy because of what i belief for the whole of my life is wrong and misleading. i don't want to comment more. i think i should let you read this article first which i took from www.darulkautsar.com. please read. And here is the rest of it


KEPALSUAN KISAH HINDUN MEMAMAH HATI HAMZAH

Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karangan Maulana Muhammad Asri Yusoff.



Sebuah kisah yang boleh dikatakan tiada sebuah buku sirah pun yang ditulis kemudian tidak menyebutkannya ialah kisah Hindun memamah, mengunyah atau memakan hati Sayyidina Hamzah semasa atau selepas peperangan Uhud.

Kisah ini adalah ciptaan dan rekaan Ibnu Ishaq. Dialah orang yang mula-mula sekali di dalam dunia ini yang mengemukakan kisah tersebut. Kemudian At Thabari menyebarkannya tetapi melalui jalan riwayat Ibnu Ishaq. Ringkasnya Ibnu Ishaqlah merupakan satu-satunya paksi dalam meriwayatkan kisah ini.

Ibnu Ishaq berkata, “ mengikut cerita yang sampai kepada saya menerusi Saleh bin Kaisan, Hindun Binti Utbah dan perempuan-perempuan lain bersamanya melakukan ‘mutslah’ terhadap sahabat-sahabat Rasulullah saw yang terbunuh.

Mereka memotong telinga-telinga dan hidung-hidung (sahabat-sahabat yang terbunuh itu ) sehingga Hindun menyucuk telinga-telinga dan hidung-hidung orang-orang yang terbunuh itu untuk dijadikan sebagai gelang kaki dan kalung-kalung. Dia memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya(anting-anting) kepada Wahsyi, hamba Jubair Bin Muth’im. Dia membelah perut Hamzah dan mengambil hatinya lalu dikunyahnya tetapi tidak dapat ditelannya kerana itu dia memuntahkannya keluar”. ( Lihat Sirah Ibnu Ishak m.s. 385, Sirah Ibn Hisyam jilid 3 m.s. 36).

Ibnu Jarir at-Thabari pula meriwayatkan dari Muhammad Bin Humaid, dia mengambil cerita ini dari Salamah Al Abrasy. Salamah pula mengambil dari Ibnu Ishaq. Ibnu Ishaq mengatakan, “Saleh Bin Kaisan menceritakan kepadanya”. (Lihat Tarikh al-Umam Wa al-Muluk-at-Thabari jilid 2 m.s. 204).

Salah seorang yang tersebut dalam isnad ini ialah Muhammad Bin Humaid ar Razi. Beliau ialah penduduk Ray. Dia selalu menukilkan riwayat dari Ya’kub al-Qummi ( seorang penulis kitab-kitab Syiah dan selainnya ).

Ya’kub bin Syaibah berkata, “Dia selalu mengemukakan riwayat-riwayat yang sangat mungkar”. Imam Bukhari berkata, “Kedudukannya dipertikaikan.”. Abu Zura’ah ar-Razi seorang alim senegeri dengannya berkata, “ Dia seorang pendusta besar.” Fadlak ar-Razi juga seorang alim senegeri dengannya berkata, “Saya mempunyai 50,000 riwayat Muhammad bin Hummaid ar-Razi tetapi satupun darinya tidak saya kemukakan kepada orang ramai.”

Pernah Ibnu Kharasy mengemukakan riwayat Muhammad bin Humaid lantas dia berkata, “Demi Allah! Dia berbohong.” Ulama’ hadis yang lain berkata bahawa dia selalu mengambil hadis-hadis orang-orang tertentu kemudian menisbahkannya kepada orang lain. Imam Nasa’i berkata, “Dia seorang yang lemah.” Saleh Jazarah berkata, “Tidak pernah saya lihat dalam hidup saya seorang yang lebih mahir berbohong dari dua orang iaitu pertama, Muhammad bin Humaid (ahli sejarah) dan kedua, Sulaiman as-Syazkumi.”

Imam Fadhlak ar-Razi pernah menceritakan bahawa, “Saya pernah pergi kepada Muhammad bin Humaid. Ketika itu dia sedang mereka sanad-sanad cerita-cerita palsu.” Imam Zahabi berkata, “Muridnya Muarrikh (sejarawan) at-Thabari telah menulis dengan penuh yakin bahawa Muhammad bin Humaid tidak ingat al-Quran.”. Di akhir hayatnya hanya dua orang yang menerima riwayat-riwayat darinya iaitu:
1) Abul Qasim Baghawi
2) Muhammad bin Jarir at-Thabari

Ibnu Humaid meninggal dunia pada tahun 248 H – (Lihat Mizanu al-I’tidal jilid 3 halaman 530, Tahzibu al-Kamal jilid 6 m.s. 286-287).

Seorang lagi yang ada dalam isnad Ibnu Ishak ini ialah Salamah al-Abrasy yang nama penuhnya Salamah bin Fadhl. Dia terkenal dengan gelaran al-Abrasy. Pernah menjadi qadhi di Ray kerana itulah dia dinisbahkan dengan ar-Razi. Kuniahnya ialah Abu Abdillah. Dia terkenal sebagai sejarawan di zamannya selain dianggap sebagai salah seorang perawi penting Maghazi Ibnu Ishaq. Pandangan ulama’ hadis dan rijal terhadapnya dapat dilihat melalui nukilan Imam Zahabi. Beliau menulis, “………Ishaq bin Rahawaih berkata, “Dia seorang dhaif”. Bukhari berkata, “Sesetengah hadisnya mungkar”. Imam Nasa’i berkata, “ Dia seorang dhaif”. Ali Ibnu Madini menceritakan, “Setelah kami pulang dari Ray, riwayat-riwayat yang pernah kami dengar dari Salamah kami buangkan dengan anggapan ia adalahn karut dan dusta”.

Yahya bin Ma’in berkata, “Salamah al-Abrasy ar-Razi adalah seorang Syiah.” Abu Hatim ar-Razi berkata, “Dia tidak boleh dijadikan hujjah.” Abu Zur’ah ar-Razi berkata, “Penduduk Ray sama sekali tidak suka kepadanya, lantaran fahamannya yang salah. Sebagai seorang qadhi, beliau selalu berlaku zalim terhadap orang ramai meskipun dia bersembahyang dengan khusyuk’. Sebelum menjadi qadhi belaiu mengajar kanak-kanak dan beliau meningggal dunia pada tahun 191 H – ( Mizanu al-I’tidal jilid 2 m.s. 12, Tahzibubu al-Kamal jilid 3 m.s. 252-253)
…………….

Ibnu Ishaq mendakwa riwayat ini diambilnya dari Saleh Bin Kaisan. Siapakah Saleh Bin Kaisan itu? Beliau ialah seorang tabi’i kecil dan tsiqah (perawi yang boleh dipercayai) tetapi beliau adalah kelahiran selepas 70H dan meninggal dunia pada tahun 140H. Dia lebih tua sedikit dari Muhammad Bin Ishaq sedangkan peristiwa peperangan Uhud telah berlaku 70 tahun sebelum kelahirannya. Siapakah pula yang menceritakannya kepada Saleh? Tentu sekali beliau bukan merupakan penyaksi peristiwa itu dengan mata kepala sendiri. Sudah tentu sekurang-kurangnya seorang yang ‘ghaib’ dalam isnad ini menjadikannya riwayat munqati’. Sepertimana dimaklumi riwayat munqati’ tidak boleh diterima (sebagai hujah).

Sebenarnya Saleh Bin Kaisan tidak pun meriwayatkan kisah ini. Ibnu Ishaq sahaja yang mengaitkannya dengan Saleh. Selain dari Ibnu Ishaq tidak ada sesiapapun mengambil cerita ini baik dari Saleh Bin Kaisan atau orang lain sepanjang pengetahuan sejarah. Di antara sekian ramai anak murid Ibnu Ishaq pula, tidak ada yang meriwayatkan cerita ini darinya selain Salamah al-Abrasy. Kemudian tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Salamah al Abrasy selain Muhammad Bin Humaid ar Razi. Seterusnya tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Muhammad bin Humaid ar Razi selain dari Ibnu Jarir at Thabari.

Thabari meninggal dunia pada tahun 310H. Ini bermakna dari tahun 70H hingga tahun 310H, disetiap peringkat hanya ada seorang sahaja yang meriwayatkan kisah ini, seolah-olah ia suatu perkara yang sulit dan perlu dirahsiakan hanya boleh diterima dari setiap generasi, seorang sahaja!

Sekiranya peristiwa ini benar-benar berlaku dan ia mempunyai saksi yang melihatnya dengan mata kepala, tentu sekali ia tersebar lebih awal dari itu dan sepatutnya perawi-perawi cerita ini semakin ramai dari satu generasi ke generasi selepas itu. Terbuktilah bahawa kisah inni tidak popular kecuali setelah masyarakat Islam menerima apa sahaja riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq dan at Thabari dengan membuta tuli. Kisah ini sebetulnya tidak diketahui oleh sesiapapun sebelum tahun 70H.


PENILAIAN LOGIK

Dari segi Logiknya, bagaimana Ibnu Ishak hanya nampak Hindun sahaja melakukan perbuatan keji ini dan menuding jari kepadanya sedangkan ramai lagi perempuan-perempuan lain yang turut serta dalam peperangan Uhud selain Hindun seperti Ummu Hakim binti al Harits Bin Hisyam, Barzah (isteri kepada Safwan bin Umayyah), Barrah binti Mas’ud bin Amar bin Umair as Saqafiyyah (ibu kepada Abdullah Bin Safwan), Buraithah binti Munabbih bin al Hajjaj (isteri kepada Amar bin al’As dan ibu kepada Abdullah bin Amar bin al As). Sulafah binti Saad, Khunas binti Malik dan Amrah binti Al Qamah dan lain-lain lagi. Dalam kesibukan perang dan hingar bingar kedua-dua pasukan yang berperang itu, bagaimana kelihatan kepada Ibnu Ishaq Hindun sedang memakan hati Hamzah dan menjadikan telinga, hidung dan lain-lain anggota Hamzah sebagai gelang kakinya di samping menghadiahkan pula kalung dan subangnya kepada Wahsyi yang telah mensyahidkan Hamzah.

Untuk mengetahui semua tindakan Hindun dengan sah dan tepat, seolah-olahnya Ibnu Ishaq telah mengutus wartawan-wartawan dan juru-juru kamera yang tidak terbabit langsung dalam peperangan, tugas mereka hanyalah menyaksikan dan merakamkan apa yang berlaku dalam peperangan itu lalu melaporkannya kepada Ibnu Ishaq dan menyerahkan pula gambar-gambar sebagai bukti sokongan kepada apa-apa yang disampaikan oleh mereka itu. Untuk mendapat kepastian sedemikian rupa semestinya Ibnu Ishaq dibantu oleh orang-orang tadi. Ini kerana tidak pula orang-orang yang ikut serta secara langsung sama ada dari kalangan orang-orang Islam atau mereka yang ada di pihak orang-orang kafir tetapi kemudiannya memeluk Islam menceritakan sepertimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq.

Perempuan-perempuan yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah bersama-sama dengan Hindun melakukan mutslah (memotong-motong anggota orang yang telah mati dengan maksud melepaskan geram dan dendam) juga tidak menceritakan seperti mana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq itu. Maka bagaimana kita akan menerima riwayat yang melaporkan kisah tersebut menerusi Saleh Bin Kaisan yang lahir setelah lebih 70 tahun berlakunya peristiwa ini dan mengenepikan pula saksi-saksi mata kepala yang turut serta dalam peperangan ini sama ada dari kalangan orang-orang Islam atau dari kalangan orang-orang kafir.

Wahsyi yang diketahui dan diterima oleh semua sebagai pembunuh Sayyidina Hamzah kemudiannya telah memeluk agama Islam. Jubair bin Muth’im tuan kepada Wahsyi kemudiannya juga memeluk agama Islam. Hindun binti Utbah, isteri Abu Suffian, ibu kepada Sayyidina Muawiyah yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah memakan hati Hamzah, kemudiannya juga telah memeluk agama Islam. Semua mereka ini tidak ada pun menceritakan apa yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq pada hal merekalah orang-orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa ini dan paling patut dirujuk dan diselidiki penjelasan mereka.

SIKAP IMAM BUKHARI

Imam Bukhari jauh berbeza dari Ibnu Ishaq kerana meriwayatkan kisah pembunuhan Sayyidina Hamzah, melalui pembunuhnya sendiri bukan melalui orang yang lahir 70 tahun selepas peristiwa itu berlaku. Menurut metod ilmu riwayat, riwayat yang dikemukakan oleh Imam Bukhari lebih wajar diterima kerana beliau mengambil dari orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa itu. Mari kita perhatikan riwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya berhubung peristiwa itu.

RIWAYAT IMAM BUKHARI

Imam Bukhari menukilkan dari Ja’far bin Amar bin Umaiyyah ad Dhamri dia berkata, “Saya telah berangkat untuk satu perjalanan dengan Ubaidullah bin Adiy bin al Khiyar. Bila kami sampai di Hims, Ubaidullah bin Adi bertanya kepada saya, “Mahukah engkau berjumpa dengan Wahsyi? Boleh kita tanya kepadanya tentang pembunuhan Sayyidina Hamzah”. Saya berkata, “Tentu sekali”.

Pada hari-hari itu Wahsyi menetap di Hims. Kami bertanya seseorang, “Di mana rumah Wahsyi?”. Orang itu menceritakan, “Itu dia Wahsyi sedang duduk di bawah naungan (bayang) rumahnya. Bila kami ternampak dia dalam rupanya yang gemuk dan tidak berambut itu tak ubah seperti sebuah gereba. Kami berdiri sejenak setelah sampai di hadapannya lalu kami memberi salam kepadanya. Beliau menjawab salam kami. Perawi berkata, “Ketika itu Ubaidullah bin Adi bin al Khiyar menutup muka dan kepalanya dengan serban. Wahsyi tidak nampak apa-apa darinya melainkan dua mata dan kakinya sahaja.

Ubaidullah pun bertanya Wahsyi, “Kamu kenalkah siapa saya?”. Wahsyi mengangkat pandangannya ke arah Ubaiullah, kemudian dia berkata, “Demi Allah, Tidak! Ya, Cuma saya tahu bahawa Adi bin Al Khiyar telah berkahwin dengan seorang perempuan dipanggil Ummul Qital binti Abi al-‘Is. Dengannya Adi bin Al Khiyar telah mendapat seorang anak lelaki. Sayalah yang telah mencari seorang pengasuh untuk anaknya itu dan saya dengan ibunya membawakan anak itu untuk diserahkan kepada pengasuh tersebut. Sekarang saya sedang memerhatikan kaki awak. Saya rasa engkaulah anak itu”. Ubaidullah pun mengalihkan kain dari mukanya. Dia bertanya Wahsyi, “Bolehkah kamu ceritakan kepada kami tentang pembunuhan Hamzah?”. Wahsyi menjawab, “Ya, tentu boleh. Ceritanya begini : Hamzah telah membunuh Thu’aimah bin Adi bin Al Khiyar dalam peperangan Badar. Tuan saya Jubair Bin Mut’im berkata kepada saya, “Kalau engkau dapat membunuh Hamzah, engkau merdeka”.

Bila saya keluar untuk berperang pada tahun ‘Ainain’ (Ainain ialah salah satu bukit di Uhud, di hadapannya terletak Wadi Uhud), saya juga keluar bersama orang lain untuk berperang. Bila masing-masing pasukan telah membetulkan saf, maka Siba’ bin Abdul Uzza pun tampil kehadapan seraya berkata, “Adakah sesiapa yang akan berlawan?”. Wahsyi menceritakan, “Dari kalangan pihak lawan, Hamzah bin Abdul Muthalib tampil kehadapan seraya berkata, “Oh Siba’!Oh anak Ummu Anmar! Mudim anak-anak perempuan, adakah engkau memerangi Allah dan Rasulnya?”. Kemudian dengan pantas Hamzah menyerang lalu dia (Siba’) menjadi seperti kelmarin yang telah berlalu (terus mati). Wahsyi berkata, “Saya ketika itu bersembunyi di sebalik satu batu besar sambil mengintai-intai Hamzah. Bila dia lalu dekat saya, terus saya membaling lembing saya ke arahnya. Lembing itu mengenai bahagian pusatnya lalu menembusi belakangnya. Itulah pertemuan saya yang terakhir dengannya. Bila semua orang pulang dari medan perang, saya juga pulang bersama mereka dan terus menetap di Mekah (selepas merdeka) sehingga Islam tersebar di sana, kemudian saya pun keluar ke ta’if”.

Bila orang Ta’if menghantarkan utusan-utusan kepada Rasulullah s.a.w. maka ada orang berkata kepada saya, “Nabi tidak mengganggu utusan,” kerana itu saya pun menyertai golongan utusan itu untuk mengadap Nabi s.a.w. Bila Nabi saw melihat saya, Baginda pun bertanya, “Adakah engkau Wahsyi?”. Saya menjawab, “Ya”. Baginda saw bertanya lagi, “Engkaukah yang telah membunuh Hamzah?”. Saya menjawab, “Berita yang sampai kepada tuan itu adalah benar”. Nabi saw pun bersabda, “Bolehkah engkau sembunyikan mukamu dari pandanganku?”. Wahsyi berkata, “Aku pun pergi dari situ”.

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Musailamah al Kazzab memberontak. Saya berfikir dalam hati saya bahawa seharusnya saya keluar untuk menentang Musailamah. Boleh jadi saya akan dapat membunuhnya dengan itu terbalaslah (terbayarlah) pembunuhan Hamzah oleh saya. Setelah terfikir begitu saya pun keluar bersama orang ramai untuk berperang. Tiba-tiba (dalam peperangan) saya ternampak seorang sedang berdiri di celah tembok. Dia kelihatan seperti unta yang kehitaman warnanya. Rambutnya berselerak. Saya lepaskan lembing saya ke arahnya dan tepat mengenai dadanya sehingga menembusi belakangnya. Selepas itu tampil seorang Ansar Madinah lalu menetak kepalanya. Abdullah Bin al-FAdhl menceritakan bahawa Sulaiman bin Yasr menceritakan kepada saya bahawa beliau mendengar Ibnu Umar berkata, “Seorang perempuan yang ketika itu berdiri di atas bumbung rumah lantas berteriak mengatakan, “Demi Amirul Mukminin (Musailamah al Kazzab)! Dia telah dibunuh oleh budak Habsyi.( Lihat Sahih Bukhari jilid 2 m.s. 583)

Demikianlah kedudukan sebenar kisah ini mengikut cerita dari mulut pembunuh Sayyidina Hamzah sendiri. Dari riwayat ini dapat disimpulkan beberapa perkara seperti berikut ;

Wahsyi adalah hamba kepada Jubair bin Muth’im. Jubair bin Muth’imlah yang mendorongnya membunuh Hamzah dengan janji akan memerdekakannya jika dia berjaya membunuh Hamzah. Di dalam riwayat ini tidak ada isyarat pun tentang campurtangan Hindun dalam pembunuhan Hamzah. Bukan Hindun yang mendorong Wahsyi supaya membunuh Hamzah, bukan juga Hindun yang dapat memerdekakan Wahsyi kerana Wahsyi bukan hambanya, malah dalam riwayat Ibnu Ishaq sendiri pun Wahsyi adalah hamba Jubair bin Muth’im.

Di dalam riwayat ini juga tidak tersebut Hindun memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya kepada Wahsyi kerana kejayaannya membunuh Hamzah. Bahkan Wahsyi tidak mendapat apa-apa hadiah dari sesiapa pun selain dari hadiah kemerdekaan yang dijanjikan tuannya Jubair bin Muth’im. Sekiranya ada, maka tidak ada sebab kenapa Wahsyi menyembunyikannya.

Wahsyi ikut serta dalam peperangan Uhud dari awal hingga akhir di pihak orang-orang kafir Quraisy dan akhir sekali beliau pulang ke rumah bersama orang-orang lain. Di dalam riwayat Bukhari ini beliau tidak menyebutkan cerita perempuan-perempuan membuat kalung dari anggota orang-orang Islam yang syahid yang telah dipotong oleh mereka. Tidak ada juga beliau menyebutkan kisah sesiapa memakan hati sesiapa. Jika diandaikan beliau tidak melihat apa yang dilakukan oleh perempuan-perempuan Quraisy terhadap orang-orang Islam yang mati syahid dalam peperangan Uhud itu terutamanya Hindun sekalipun tetap berkemungkinan juga beliau mendengar cerita itu di Mekah setelah pulang tetapi tiadanya cerita Wahsyi ini daripada perbuatan-perbuatan perempuan tersebut menunjukkan bahawa semua itu tidak benar.

Kerana Wahsyi telah membunuh Hamzah yang begitu disayangi oleh Rasulullah saw, Nabi saw meminta beliau supaya tidak bersemuka dengannya. Tetapi Jubair bin Muth’im, pada ketika pembukaan Mekah tidak pula diminta oleh Rasulullah saw supaya tidak bersemuka dengannya seperti Wahsyi. Apa yang dilakukan oleh Wahsyi, jika benar seperti yang didakwa oleh Ibnu Ishaq, bahawa Hindun telah membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya – maka kelakuan itu lebih dasyat daripada apa yang dilakukan oleh Wahsyi terhadap Hamzah, kerana sudah lumrah dalam peperangan seseorang membunuh pihak lawannya. Tetapi adalah sesuatu yang luar biasa seseorang membelah perut orang yang telah mati dalam peperangan lalu memotong hatinya untuk dikunyah atau dimakan. Sepatutnya Rasulullah saw juga tidak sanggup bersemuka dengan Hindun sama seperti Wahsyi tetapi sebaliknya apabila Nabi saw menakluk Mekah, di samping Baginda saw mengisytiharkan damai, Baginda saw juga telah mengisytiharkan nama-nama orang yang perlu dihukum bunuh.

Pada ketika itu Hindun tidak tersenarai dalam orang-orang yang perlu dihukum bunuh. Tidak juga Nabi saw menyatakan kebencian dan dendamnya kepada Hindun malah sebaliknya mengisytiharkan kepada umum bahawa sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abi Sufyan (juga merupakan rumah Hindun) untuk menyelamatkan dirinya, dia terselamat dan mendapat keamanan. Pengisytiharan seperti ini membuktikan dengan sejelas-jelasnya bahawa Hindun atau Abu Sufyan tidak terlibat sama sekali dalam pembunuhan Sayidina Hamzah apa lagi untuk dikatakan beliau telah membelah perut Hamzah lalu memakan hatinya. Hindun seperti juga ramai orang-orang Quraisy yang lain telah memeluk agama Islam, selepas berbai’ah dengan Nabi saw dalam keadaan bersemuka dengan Nabi s.a.w., beliau secara terbuka menyatakan perasaannya setelah memeluk Islam terhadap Nabi saw. Kata beliau, “Wahai Rasulullah! Dulu tidak ada manusia yang berkhemah di atas muka bumi ini lebih dipandang hina olehku darimu tetapi hari ini tidak ada orang yang berkhemah di muka bumi ini lebih ku kasihi darimu.

Lihatlah bagaimana beliau menyatakan isihatinya terhadap Nabi saw dengan bersemuka dan lihatlah pula apa jawapan Nabi saw dan bagaimana Nabi saw menyambut kata-katanya itu. Dari kata-kata Nabi saw itu kiranya sirnalah segala tuduhan yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadap Hindun, ibu mertua Nabi saw, ibu kepada Ummu Habibah dan juga ibu kepada Sayyidina Mu’awiyah. Baginda saw lantas bersabda, “Ya, demikian juga aku. Demi Tuhan yang nyawaku berada ditanganNya” ( Lihat Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 539)

Ini bermakna Nabi saw juga kasih kepada Hindun seperti mana Hindun mengasihinya. Malah untuk menyatakan kasihnya yang sungguh-sungguh itu, Baginda saw bersumpah dengan Tuhan yang nyawanya berada ditanganNya.

Daripada dua riwayat berlainan kandungannya yang dikemukakan oleh dua orang tokoh, Ibnu Ishaq dan Imam Bukhari, tergambar dengan jelas aliran pemikirandan aqidah masing-masing. Yang pertama berfahaman Syi’ah yang sememangnya membenci para sahabat dan memusuhi mereka sementara yang kedua pula mengasihi sahabat seperti Rasulullah s.a.w. sendiri mengasihi mereka.

Ibnu Ishaq mendakwa mendapat cerita yang dikemukakannya dari Saleh bin Kaisan yang lahir 70 tahun selepas peristiwa peperangan Uhud itu berlaku. Imam Bukhari pula menerima riwayat yang dikemukakannya dengan sanad yang bersambung-sambung dan tidak terputus. Perawi-perawinya terdiri dari orang-orang yang kuat dengan isnad yang kuat dan tidak terputus-putus. Imam Bukhari mengambil riwayat tentang pembunuhan Hamzah dari pembunuhnya sendiri iaitu Wahsyi. Siapakah yang lebih boleh dipercayai? Seorang yang mengambil riwayat dari orang yang lahir 70 tahun selepas kejadian atau orang yang meriwayatkan sesuatu peristiwa dari orang yang menyaksikan sendiri peristiwa itu malah terlibat secara langsung dalam peristiwa itu?

Ibnu Ishaq dan kuncu-kuncunya sebenarnya mahu menanam rasa benci di dalam hati ummah terhadap Sayyidina Muawiyyah yang telah memusnahkan pergerakan musuh Islam selama pemerintahannya 20 tahun sebagai Gabenor dan 20 tahun sebagai khalifah. Dia seolah-olahnya menghujah para pembaca riwayatnya dengan cerita yang dikemukakan itu, iaitu Sayyidina Muawiyah adalah seseorang yang jahat, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Kejahatan dan kekejaman itu bukanlah suatu yang baru bahkan ia adalah suatu yang turun temurun diwarisinya dari ibunya yang telah sanggup membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya, juga diwarisi dari ayahnya yang merupakan kepala kafir Quraisy dalam peperangan Uhud itu. Inilah sebenarnya motif yang telah melahirkan cerita ini ke alam nyata.

Ibnu Ishaq sebetulnya mahu mencabar fikiran ummah dengan suatu alasan di sebalik cerita yang dipersembahkan itu. Bahawa jika Wahsyi yang telah melakukan suatu perkara yang lumrah berlaku dalam sesuatu peperangan pun diminta oleh Nabi saw supaya tidak menunjukkan mukanya kepada Baginda saw, bagaimanakah pula dengan orang yang telah membelah perut Sayyidina Hamzah lalu mengunyah hatinya? Adakah mungkin Rasulullah saw dapat menerima orang seperti itu? Kalau pun orang itu kemudiannya memeluk agama Islam dan berbai’ah dengan Nabi saw tetap juga ada kemungkinan bahawa Nabi saw menerima keislamannya secara taqiyyah!

Imam Bukhari mengemukakan hadis, “Hindun menyatakan isihatinya kepada Rasulullah s.a.w. secara terbuka dan bersemuka dengan Rasulullah s.a.w. seperti disebutkan tadi di bawah bab ‘kelebihan Hindun Binti Utbah’. Apa yang Imam Bukhari mahu abadikan melalui bab ini ialah Hindun bukan sahaja telah diterima keIslamannya, bahkan beliau mempunyai kelebihan dan keistimewaannya tersendiri. Apa yang dapat difahami secara mudah ialah sekurang-kurangnya beliau merupakan mertua kepada Nabi s.a.w. dan ibu kepada Amirul Mukminin Sayyidina Mu’awiyah bin Abu Sufyan itu sahaja pun bagi umat Islam bukan alang kepalang keistimewaannya.
Read the rest of the entry / Baca selanjutnya!

Monday, April 28, 2008

Pemurnian Sejarah Islam

I want start new content in this blog regarding Islamic History, sirah nabawiyah which has been poluted by too much of syiah influences as we taking our sources from ibnu ishaq. the first issue is about the exact date of maulidur rasul.this article was taken from the web http://www.darulkautsar.com/ please read...

"Sejarah awal Islam perlu diperbetulkan kerana musuh-musuh Islam cuba menggambarkan Islam sebagai agama yang tidak sempurna kerana dipelopori oleh orang-orang yang tidak berakhlak dan bermotifkan keduniaan (dengan penyelewengan peristiwa sejarah dan peribadi tokoh-tokoh Islam) ; menjadikan pegangan utamanya al-Quran dan hadis disangsikan ketulinannya."

PENILAIAN SEMULA TARIKH KELAHIRAN DAN KEWAFATAN NABI MUHAMMAD S.A.W.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi PenyayangPuji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabatnya.

Masyarakat Islam di negara kita umumnya menerima tarikh 12hb. Rabiul Awwal sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. ( Maulidur Rasul ) . Fakta ini perlu di kaji semula kerana didapati bercanggah dengan fakta sejarah, hadis dan sains.

Disamping itu, sekiranya diterima juga tarikh wafat Nabi s.a.w. pada 12hb. Rabiul Awwal, (sebagaimana dipercayai umum), ia akan menimbulkan satu konflik di dalam jiwa masyarakat yang mana di satu pihak mereka merayakan kelahiran Nabi s.a.w. dan bergembira kerananya sedangkan di pihak lain pula pada hari yang sama sepatutnya mereka bersedih dan tidak boleh merayakan hari tersebut kerana ia juga merupakan hari kewafatan Nabi saw. Jadi di manakah adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur Rasul yang juga merupakan hari perkabungannya? (Tanpa mengambil kira perayaan Maulidur Rasul itu sendiri adakah bersesuaian dengan sunnah atau ia satu bida’ah).

Di samping itu angka 12 yang dipilih untuk hari lahir dan hari wafat Nabi saw berkemungkinan besar berpunca daripada Syiah Imam Dua Belas. Justeru angka 12 ini bagi mereka merupakan angka sakti yang mereka kaitkan sekian banyak keistimewaan dengannya. Apalagi jika orang yang mula-mula mempopularkan tarikh ini adalah Ibnu Ishaq yang juga seorang Syiah. (Taqribut Tahdzib, Al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, jilid 2, halaman 144).

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibmu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya. Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang Syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa’i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, “Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu’tazilah.” Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Said Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, “Dia seorang dajjal” (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jilid 3, halaman 468 – 475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.

Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9hb Rabiul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abdul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin `Aini (Al-Bidayah wa An Nihayah, jilid 2 halaman 260-261)

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya. Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:

· Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah saw iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad saw ketika itu berusia 63 tahun.
· Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi.
· Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi saw jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.
· Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi saw, walau bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas.

Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam “Nurul Yaqin” (hal. 6), Safiyyuul Rahman Al Mubarakpuri di dalam “Ar Rahiqul Makhtum” (halaman 54), `Allamah Sibli Nu’mani di dalam “Siratun Nabi” (jilid 1 hal. 176), Maulana Abdul Kalam Azad di dalam “Rasul Rahmat” (hal. 37) dan lain-lain.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad s.a.w. pula, beberapa perkara yang telah diterima oleh ulamak hadis dan sirah perlu diletakkan di hadapan untuk menentukan tarikhnya iaitu:
· Tahun kewafatan Baginda s.a.w. ialah 11H
· Dalam bulan Rabiul Awwal
· Antara 1hb. Hingga 12hb.
· Hari Isnin (Sahih Muslim, jld. 8 hal. 51-52)
· Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada’ pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll).
· Daripada hari itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad SAW adalah 81 hari. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2 hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j.11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari).

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda s.a.w. seperti berikut:

1 Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awwal.
2 Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2,9 atau 16hb. Rabiul Awwal.

Selain daripada dua andaian tersebut itu, terdapat enam andaian lagi seperti yang terdapat dalam jadual berikut:

Jumlah hari bagi bulan Tarikh Hari Isnin dalam bulanRabiul Awwal
Zulhijjah (30) Muharram (29) Safar (29) 1 8 15
Zulhijjah (29) Muharram (30) Safar (29) 1 8 15
Zulhijjah (29) Muharram (29) Safar (30) 1 8 15
Zulhijjah (30) Muharram (29) Safar (30) 7 14 21
Zulhijjah (30) Muharram (30) Safar (29) 7 14 21
Zulhijjah (29) Muharram (30) Safar (30) 7 14 21

Daripada tarikh-tarikh yang diandaikan tadi; 6, 7, 8, 9, 13, 14, 15 dan 16hb. Rabiul Awwal tidak dapat diterima kerana selain daripada alasan-alasan yang tersebut tadi, tidak ada satupun riwayat yang menyokongnya. Berkenaan dengan 2hb. pula , selain daripada tidak mungkin terjadinya ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar terdiri daripada 30 hari di dalam kesemuanya, tidak ada juga riwayat yang sahih mengenainya. Apa yang ada hanyalah riwayat Hisyam bin Muhammad Al Kalbi dan Abu Mikhnaf yang dianggap sebagai pendusta oleh ulama-ulama hadis.

Berhubung dengan 1hb. pula, ia adalah daripada riwayat tokoh utama sirah iaitu Musa bin Uqbah dan ulama hadis yang terkenal Imam Laith bin Saad, Abu Nua’im Fadhal bin Dukain dan lain-lain. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Suhaili dan Al Khuwarazmi. (Fathul Bari, Jilid 16. hal. 206, “Ar Raudhul Unuf,” jilid 7, hal. 579). Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi S.A.W. ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M.

Berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kami kemukakan pihak kami berharap agar masyarakat menilai semula tarikh sebenar kelahiran nabi s.a.w. dan tidak merayakan suatu hari yang kononnya hari kelahiran Nabi s.a.w. padahal ia bukanlah harinya yang sebenar.
(Dipetik dari Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah dengan sedikit pindaan)


Read the rest of the entry / Baca selanjutnya!